Translate

Wednesday 15 May 2013

KESAN - KESAN PENJAJAHAN JEPUN DI TANAH MELAYU


Kesan Ekonomi Pendudukan Jepun
Matlamat Jepun untuk menguasai Tanah Melayu ialah untuk mengesploitasi bahan-bahan mentah dan meluaskan pasaran.Hasrat ini tidak tercapai kerana perang yang berlarutan dan terpaksa menghadapi sekatan ekonomi Barat. Tambahan pula jalan perhubungan darat banyak yang musnah kerana semasa British berundur, mereka mengamalkan dasar bumi hangus. Banyak lombong dan peralatan dimusnahkan. Semasa pendudukan Jepun, Tanah Melayu menghadapi tekanan ekonomi.Inflasi meningkat kerana Jepun mencetak wang tanpa kawalan. 65 juta wang diedarkan dalam masa dua bulan dan 285 juta wang kertas diedarkan sehingga Februari 1943. Jepun juga cuba memonopoli ekonomi Tanah Melayu. Permit-permit perniagaan dikeluarkan oleh pentadbiran tentera bagi memastikan syarikat-syarikat Jepun diberi layanan istimewa.

Kesan Sosial Pendudukan Jepun
Kehidupan rakyat terbeban.Kesihatan rakyat merosot.Ramai rakyat yang kehilangan tempat tinggal.  Mereka terpaksa hidup berpindah randah. Di samping itu banyak sekolah yang terpaksa ditutup dan pendidikan telah merosot.Masyarakat Cina menghadapi tekanan hebat kerana bersikap anti Jepun sebelum ini. Jepun mengamalkan dasar Sook Ching (pembersihan etnik).

Orang Cina juga dikehendaki membayar sejumlah 50 juta ringgit sebagai bayaran darah hutang dan hukuman kerana kegiatan anti-Jepun. Jepun memberikan layanan yang baik kepada orang India. Ramai pemimpin politik di India telah mempunyai hubungan yang baik dengan Jepun. Dengan bantuan Jepun, Tentera Nasional India dan Liga Kemerdekaan India ditubuhkan. Jepun menggalakkan pemimpin India untuk menentang British di negara itu.Tentera Nasional India telah merekrut seramai 20 ribu orang tentera yang pernah berkhidmat dengan pasukan British dan 30 ribu daripada kalangan buruh. Jepun dikatakan melaksanakan dasar pecah dan perintah. Orang Melayu diberikan layanan yang baik.

Namun kesan sosial yang diterima akibat peperangan tetap berat. Ramai pegawai kerajaan yang diberhentikan kerja. Ada yang dipotong gaji dan berhadapan dengan masalah inflasi. Ramai kakitangan kerajaan yang terpaksa menjalankan aktiviti pertanian untuk mencukupkan makanan. Kesukaran hidup masyarakat pada zaman ini dikenali sebagai "Zaman Ubi Kayu".Sekolah Inggeris ditutup sebagai usaha menjepunkan rakyat Tanah Melayu. Tumpuan diberikan kepada penggunaan bahasa Jepun. Pelbagai rancangan propaganda diadakan dengan menggunakan akhbar, sekolah dan aktiviti sosial. Sekolah-sekolah khas dibentuk untuk melatih pemuda-pemuda bersemangat waja. Jepun berusaha membina seishin (semangat) pemuda-pemuda.

No comments:

Post a Comment